Kembara ke Prince Rupert, British Columbia, Kanada (hari 1)

by - Monday, April 22, 2019

Assalamualaikum w.b.t

Kembara kali ini tidak lama hanya 2 hari 1 malam sahaja. Walaupun hanya 2 hari tetapi ia cukup memberi makna dan kenangan manis buat kami sekeluarga.  Saya mengambil kesempatan untuk meneroka daerah yang belum kami teroka iaitu Prince Rupert, British Columbia, Kanada sempena Hari Easter.  Prince Rupert dikenali sebagai Bandar Pelangi atau 'Rainbow City' oleh masyarakat tempatan.  Ia merupakan sebuah bandar pelabuhan yang terletak di utara negeri British Columbia.  Prince Rupert mempunyai populasi lebih daripada 12 ribu penduduk dan merupakan bandar yang telah di bina lebih daripada 100 tahun.

Kami bertolak dari Kitimat pada jam 10.30 pagi.  Perjalanan insyaallah akan mengambil masa dalam 2 jam 40 minit.  Kami berhenti di Terrace untuk mengisi minyak kereta.  Kami meneruskan perjalanan ke Prince Rupert.  Jauh Kitimat ke Terrace sejauh 60km.

Tanda sudah sampai Terrace


Saya sungguh tidak sangka rupa-rupanya pemandangan dari Terrace ke Prince Rupert sungguh cantik.  Kami tidak melepaskan peluang mengambil gambar pada setiap sudut.  Sepanjang perjalanan ini di sebelah kiri merupakan Sungai Skeena-Kitimat yang mana sungai ini bermula dari Kitimat dan airnya akan menuju ke laut.  Sungai yang mengalir tenang berlatar belakang gunung yang di litupi salji di puncaknya membuatkan mata saya tidak puas memandangnya.  Kelihatan seperti sebuah 'wallpaper' yang dihadapan skrin komputer.  Beberapa kali saya minta suami berhenti di kawasan rehat untuk mengambil gambar sehinggakan anak-anak sudah mula merungut.  

"Bila nak sampai sekiranya asyik berhenti sahaja?",  Lana dengan rungutannya.

"Nak buat macamana,  Mama kan nak menulis dalam blog dia?", suami saya menyambung pula.

Walaubagaimanapun, anak-anak saya faham walaupun ada sesekali terdengar bunyi rungutan.  Saya yakin satu hari nanti tulisan saya amat berharga untuk mereka kenang.

Kami tiba di Prince Rupert pada jam 1.30 tengahari. 


Dalam bangunan Visitor Centre

Pondok telefon berusia lebih 100 tahun.  Masih berfungsi dengan baik.

Di hadapan bangunan  Prince Rupert Adventure Tour

Restoran Dolly


Di hadapan pintu masuk Gallery Gift




Di tepi bangunan muzium


Di hadapan muzium


Di hadapan bangunan Visitor Centre


Mata saya terus tertumpu pada barisan bangunan-bangunan serta kawasan perumahan yang berada di kawasan tanah tinggi di bandar ini.  Hati saya sendiri berkata keadaan bandar ini seperti saya berada di dunia ala-ala koboi.  Ia sangat mengimbau nostalgia.  Bukan zaman P.Ramlee tapi zaman koboi.  Semasa kecil saya suka lihat filem-filem yang berunsur koboi.  Tidak sangka pula, pada usia begini saya akan sampai di bandar koboi. 😍

Kami terus menuju ke Pillsbury House sebuah rumah tumpangan untuk check-in.  Selepas selesai urusan meletakkan beg di bilik.  Kami bersepakat untuk berjalan kaki menghayati udara dan pemandangan laut Prince Rupert.

Perut sudah mula berbunyi tanda minta di isi.  Sebelum meneruskan ke tempat-tempat yang ingin lawati.  Saya mengajak suami ke 'Visitor Centre' di mana ia merupakan tempat untuk kita rujuk sebagai pelawat.  Ingin saya nyatakan di sini setiap daerah yang kita lawati di Kanada pasti ada 'Visitor Centre' jadi jangan risau untuk jadi seorang pelancong di sini. 

Kami memilih untuk mencuba makanan laut di sebuah restoran bernama Dolly Restoran.  Saya sempat berbual dengan pemilik restoran yang berbangsa Cina.  Beliau sudah berhijrah ke Prince Rupert selama 40 tahun. Hebat kan!  Makanan juga sangat enak dan semua sangat segar.

Selepas selesai makan tengahari kami berjalan kaki melawat kawasan kedai-kedai yang berhampiran.  Saya tidak sangka juga di sini terdapat Restoran Jepun.  Terdapat pelbagai kedai cenderahati yang menjual barangan kraftangan penduduk tempatan.

Memandangkan hari ini merupakan hari Easter, kebanyakan muzium tutup.  Insyaallah lain kali kami datang lagi esok. Anak-anak sudah mula meminta mengajak balik ke rumah tumpangan untuk berehat.  Beginilah kalua berjalan dengan kanak-kanak, saya perlu merancang setiap perjalanan supaya mereka tidak rasa bosan.

Alhamdullilah, kami sampai di bilik pada jam 5 petang.  Memandangkan belum lagi masuk waktu solat Asar, saya menyuruh anak-anak solat jamak taqdim. Saya katakan kepada mereka kita akan keluar semula pada malam ini untuk makan malam tetapi tidak lagi di restoran hebat.  Kita makan di McDonald menu French fries. 😇

Insyaallah, saya akan menulis entri khas berkenaan keistimewaan Rumah Tumpangan Pillsbury 

Byeeee



You May Also Like

0 comments